Ahad, 11 April 2010

Info Dadah

MAKSUD DADAH

Dadah ialah apa-apa juga bahan kimia, samada asli atau tiruan, apabila dimasukkan kedalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.

JENIS-JENIS DADAH

Dadah boleh dibahagikan kepada lima bahagian.

1. Opait
2. Perangsang (stimulants)
3. Penekanan (Depressants)
4. Hallucinogen
5. Ganja (Cannabis)

OPAIT

Dadah yang paling merbahaya dan banyak sekali disalahgunakan. Dadah dalam golongan ini ialah:- Asli, Candu, Morfin, Heroin, Kodein, Ganja

PERGANTUNGAN PADA DADAH (DRUG DEPENDENCE)

Pergantungan pada dadah adalah keadaan keperluan secara fizikal atau psikologi atau kedua-duanya, yang ujud daripada penggunaan dadah yang berterusan atau diwaktu-waktu tertentu. Pergantungan psikologi atau jiwa ialah satu istilah biasanya dimaksudkan kepada satu idaman kuat yang berlebih-lebihan terhadap bahan-bahan tertentu tetapi tidak ada pergantungan badan. Pergantungan fizikal atau badan ialah penyesuaian badan secara jasmaniah terhadap ujudnya sejenis dadah secara berterusan. Apabila pergantungan ini telah dibina, badan bertindak dengan tanda-tanda yang boleh diteka, sekiranya dadah itu diberhentikan bekalannya serta merta. Sifat dan kekuatan tanda-tanda pengunduran itu bergantung pada dadah yang sedang digunakan dan banyak dose yang diperolehi tiap-tiap hari.

JENIS-JENIS DADAH YANG KERAP DIGUNAKAN DINEGERI INI

Walaupun penggunaan dadah yang ditentukan oleh doktor telah mendapat perhatian pihak berkuasa. Dadah-dadah yang kerap digunakan adalah Heroin, Morfin, Candu, ganja (hashish atau marijuanan atau cannabis), amphetamin, barbitured, pill mx, kokain dan lain-lain.

APAKAH FAKTOR-FAKTOR MEMBAWA KEPADA SALAHGUNA DADAH

Mengikut kajian oleh pakar-pakar perubatan dan juga pakar-pakar yang membuat penyelidikan atas penagih-penagih dadah dan juga mereka-mereka yang menyalahgunakan dadah adalah seperti berikut:-

1. Ingin mengetahui dan seterusnya ingin mencuba-cuba oleh dirinya sendiri.
2. Tidak mengetahui dengan sebenarnya bahaya-bahaya tiap-tiap jenis dadah itu.
3. Dipengaruhi oleh kawan-kawannya dan oleh sebab hendak menyesuaikan dirinya dengan sesuatu kumpulan yang sebaya dengannya.
4. Mencari ketenteraman jiwa kerana terlibat dengan sesuatu masalah kehidupan.
5. Menghilangkan sesuatu kesusahan yang dideritainya.
6. Untuk menghilangkan kerunsingan yang didatangkan oleh desakan ibubapa.
7. Tidak menggunakan masa lapangnya dengan perkara-perkara yang berfaedah.
8. Mengikut tekanan darah mudanya dengan sekehendak hatinya.
9. Kerana keporak perandaan rumahtangga.
10. Kerana tidak ada kemesraan yang baik diantara ibubapa dan anak-anak.
11. Kerana ingin berlagak dengan cara hidup yang lebih tinggi daripada yang termampu olehnya.
12. Kerana adanya dadah dan kebijaksanaan pengedar-pengedar dadah untuk menjalankan pengaruhnya.
13. Kurang pengetahuan Agama dan penghayatan nilai-nilai Agama.

DADAH YANG TERKENAL DI SABAH

1. APA DIA SYABU

I.I. Nama panggilan dan nama saintifik

SYABU ialah nama panggilan (street name), iaitu sejenis dadah. yang berada dalam kumpulan SUMUIAN yang mana istilah saintifiknya "dMethamphetamine hydrochloride". Perkataan syabu sebenamya berasal daripada bahasa Tagalog di negara Filipina dan ianya telah menjadi satu nama yang popular digunakan di Sabah oleh kerana pengaruh pengguna -pengguna dan pengedar-pengedar 'pioneer' di Sabah yang terdiri daripada pendatang tanpa izin yang berbangsa Filipin. Penggilan-panggilan lain yang digunakan oleh pengguna-pengguna di pasaran Sabah dan luar Sabah adalah seperti berikut:-

1. ICE
2. GLASS
3. CRACK METH
4. HIROPONG
5. BATU (STONES)

Oleh kerana majalah ini adalah berpandukan kepada latar belakang bahan ini di negeri Sabah, maka panggilan SYABU akan digunakan bagi tujuan rujukan.

1.2 Rupa Syabu Di Pasaran

Syabu berbentuk hablur tawas yang halus serta berwarna cerah/putih dan bersifat lutcahaya ( colourless rock-like transparent granules) yang halus.

1.3. Bungkusan (Packaging)

Syabu dipasarkan dalam bentuk bungkusan plastik kecil yang berukuran 2cm x 2cm dan bungkusan yang berupa demikian biasanya mengandungi berat lebih kurang 0.045 gram dan ianya hanya cukup bagi kegunaan sekali sahaja yang biasanya dinamakan 'deck' atau 'layaran' bagi kegunaan penagih syabu.

1.4. Isi Kandungan (Ingredient) dan Synthesis

Bahan-bahan syabu yang utama ialah " d-Methamphetamine" yang tersenarai di bawah Bahagian III Jadual Pertama dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (pin. 1977) sebagai satu bahan dadah. Antara bahan-bahan lain ialah ephedrine, hydrochoride acid dan synthesis kimia sepwi berikut :-

C6 H5 CH (OH) CH (CH3) NHCH3 + HI + P4 C6 H5 CH2 CH (CH3) NHCH3

2. LATAR BELAKANG

2.1. Syabu adalah satu jenis dadah tiruan atau pun 'DESIGNER DRUGS' yang telah wujud sejak perperangan dunia yang kedua. Pada, ketika itu, juru terbang (Fighter pilot) menggunakan syabu perlu berjaga-jaga semasa dalam penerbangan jauh dan juga askar-askar lain berperang tanpa tidur untuk tempoh masa yang panjang;

2.2. Mereka yang paling mengemari mengguna syabu pada masa perperangan tersebut adalah askar-askar Amerika Syarikat, China dan Jepun. Oleh kerana itu, adalah sukar bagi menentukan pihak manakah yang mula bertanggungjawab atas rekaan syabu. Apa yang mereka mementingkan ialah supaya mendapatkan kesan positif daripada syabu tanpa mengirakan kesan negatithya yang kadangkala boleh mendatangkan maut;

2.3. Dari segi sejarah Sabah, syabu mulai dikesan pada awal tahun 1992 yang dipengaruh oleh pembiakan Syabu kerana kebanyakan daripada pendatang-pendatang tanpa izin warganegara Filipina di Sabah adalah pengguna syabu dan syabu yang mereka bawa bersama-sama untuk kegunaan sendiri telah diedarkan juga kepada penduduk-penduduk tempatan. Pengaruh Syabu di Filipin pula telah ditinggalkan oleh askar-askar Amerika Syarikat yang telah lama berkhidtnat di negara tersebut.

3. KEMASUKKAN SYABU KE SABAH

3.1. Bekalan Syabu diseludup dari kepulauan Selatan Filipina yang terdiri daripada pulau Palawan, Mindanao, Tawi-Tawi, Basilan, Siasi dan Jolo yang terletak disebelah Timor Utara yang hanya dipisahkan oleh lautan SuIu dan Sulawasi. Daerah- daerah di pantai Timor Sabah seperti Sandakan, Kudat, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau adalah menjadi tempat ' Landing Point' oleh pengedar-pengedar syabu. Selain Pendatang Tanpa lzin (PTI), yang masuk secara haram, terdapat juga pengedar-pengedar Filipina yang memiliki paspot datang ke Sabah dengan membawa syabu masuk secara sah melalui pintu-pintu masuk seperti:

3. 1. 1. Barter Trader( Kapal pertukaran barang dagang);
3.1.2. Feri dari Zamboanga ke Sandakan; dan
3.1.3. Penerbangan antarabangsa dari Manila dan Zamboanga.

3.2. Bot-bot seperti 'speed boat' merupakan pengangkutan utama, masuk ke Sabah secara haram dengan membawa bersama-sama mereka (PTI) sedikit-sebanyak Syabu semasa mendarat di daerah Sabah yang mana sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Syabu yang berjaya diseludup masuk dibawa ke Kota Kinablu, ke Brunei dan lawas, Sarawak dengan menggunakan kenderaan. Manakala ke W.P. Labuan dengan menggunakan Feri dari Kota Kinabalu. Dan dari W.P. Labuan Syabu diseludup pula masuk ke Brunei dengan menggunakan bot-bot yang berulang-alik. Syabu juga diseludup ke Brunei melalui daerah Sipitang.

4.3. Mengikut statistik aktiviti menyeludup syabu telah meningkat begitu mendedak sekali. Peningkatan itu disebabkan faktor-faktor berikut:

4.3.1 Permintaan Syabu adalah lebih popular jika dibandingkan dengan ganja;
4.3.2 Keuntungan yang lumayan jika dijual di Sabah dengan nilai mata, wang Malaysia berbanding dengan pesos di Filipina; dan
4.3.3 Menyembunyi dan membawa syabu adalah lebih senang jika dibandingkan dengan ganja.

4.4. Peningkatan permintaan syabu juga ada kaitan dengan kesan-kesan positif kepada pengguna seperti berikut:

4.4.1. Hilang mengantuk dan beijaga-jaga lebih daripada 24jam;
4.4.2. Kekuatan mental dan fisikal.;
4.4.3. Keseronokan dan khayalan;
4.4.4. Bertambah kesoronokan seks dan tahan daya; dan
4.4.5.. Hilang selera makan.

Syabu akan berkesan diantara 15 hingga 60 minit selepas dihisap kesannya boleh berlanjutan sehingga beberapa jam kemudian.

5. PENGEDAR/PENYELUDUP (MODUS OPERANDI) SYABU

Kebanyakan pengedar-pengedar syabu yang terdapat di Sabah adalah secara kecil-kecilan yang dilakukan secara individu. Mengikut risikan mereka menggunakan berbagai-bagai tektik untuk menyeludup syabu dan diantaranya adalah seperti berikut:

5.1.1. Menyembunyi didalam barang-barang persendirian seperti kain/baju dan lain-lain;
5.1.2. Dalam motor starter;
5.1.3. Lampu Kalimantang;
5.1.4 Bekas stater kalimantang
5.1.5. Bekas tin bedak;
5.1.6. Bekas bateri tetefon bimbit; dan
5.1.3. Tumit selipar/kasut.

5.2. Selain Filipina, negara Hong Kong juga mengeluarkan bekalan Syabu dan pembekal-pembekalnya dipercayai mendapat bekalan-bahan asli dari negara China ( mainland ) dan memproses Syabu di "underground laboratories" untuk dibekalkan ke Jepun, Taiwan dan juga sebahagian kecil kepada Sabah. Adalah dipercayai bahawa Syabu yang dibuat di Hong Kong adalah yang bermutu lebih tinggi jika dibandingkan syabu yang datang dari negara Filipina.

5.3. Syabu yang datangnya dari negara Filipina adalah terdiri daripada 90% yang peratus yang dibekalkan ke pasaran Sabah. lanya diseludup masuk dalam bentuk I kilogram, 1/2 kilogram atau dalam bentuk 'bar' yang berat 50 gram. Oleh kerana syabu merupakan bentuk halus dibanding dengan dadah lain seperti ganja, sejumlah besar dan berat boleh disembunyi melalui kumpit kumpit atau diseludup di atas badan dan ianya sukar dikesan. Syabu yang berjaya diseludup masuk akan dijual kepada pengedar tempatan yang akan membuat bungkusan semula dalam bentuk bungkusan plastik 5 gram, 1 gram dan tiub plastik kecil 0.045 gram untuk diedar kepada pasaran di Kota Kinabalu dan lain-lain daerah.

6. NAMA BRAND DAN GRED SYABU

6.1. Syabu yang terdapat di pasaran adalah terdiri daripada beberapa jenis nama mengikut rupa bentuk dan mutunya. Diantara nama-nama yang di panggil adalah seperti:

i) China White
ii) Cristal Stones

6.2. Pada umumnya, Syabu yang dipasarkan adalah dibahagikan kepada tiga gred iaitu

Gred I - Cristal Stones
Gred II - China White
Gred III - Syabu biasa yang kebanyakanya telah dicampur dengan tawas.

Syabu yang terdapat di pasaran Sabah kebanyakannya terdiri daripada syabu jenis Gred II

7. KESAN-KESAN ATAU AKIBAT PENYALAHGUNAAN SYABU [METHAMPHETAMINE]

7.1. Kesan-kesan negatif syabu dibahagikan kepada dua jenis iaitu jangka masa pendek dan masa panjang. Kesan negatif jangka masa pendek adalah seperti berikut:

1. Khayalan atau halusianasi pada penghilatan dan pendengaran;
2. Perangai cepat marah, resah dan perasaan tidak tenang;
3. Kenaikan suhu badan dan tekanan darah tinggi; dan
4. Bersifat agresif.

Akibat jangka masa panjang adalah seperti berikut:

1. Kerosakan pada saraf otak dan mengalami angin ahmar (strok);
2. Kurang siuman dan mengalami gangguan mental;
3. Keracunan pada sistem saraf tunjang;
4. Pergantungan psikologikal keatas Syabu dan rasa tidak boleh hidup tanpanya;
5. Mendatangkan kerosakan pada tisu yang teruk dan boleh membawa maut; dan
6. Boleh mengakibatkan sejenis penyakit neurologi seakan-akan Parkinson's Disease' yang sukar diubati.

8. KESALAHAN DlBAWAH ADB, 1952

METAMPHETAMINE adalah tersenarai di bawah Akta DadahBerbahaya 1952 (pindaan 1998) dan berkuatkuasa pada 15.9.98 mengikut Akta A 1025.

Rabu, 10 Mac 2010

Syabu - Penjara dan Sebatan

Tukang rumah miliki syabu dipenjara lapan tahun, 10 sebatan
24/03/2010
UM-PEMADAMnazri, Utusan Malaysia

SHAH ALAM 24 Feb. - Seorang tukang rumah yang mendakwa terjerumus dalam kegiatan pengedaran dadah kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan, dihukum penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan hukuman terhadap Kuak Chee Siang, 28, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 6 April 2008 selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki methamphetamin (syabu) seberat 79.69 gram.

Chee Siang bagaimanapun mengaku bersalah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan iaitu memiliki 79.69 syabu di kawasan Restoran 9898, Jalan Pandan Indah 4/10, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 4.30 petang, 6 April 2008.

Bagi tuduhan pilihan, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta tersebut yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali.

Khamis, 11 Februari 2010

Berhabis untuk kokain

Berhabis untuk kokain
20/01/2010
(siti) Kosmo,

MENJALANI hidup dalam keadaan yang serba lengkap dan sempurna pastinya menjadi impian semua orang. Namun ia juga boleh mengundang padah jika tidak dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Fairuz (bukan nama sebenar), 42, mempunyai segala-galanya dalam hidup. Dilahirkan dalam keluarga mewah, kerjaya yang memberi pendapatan lima angka, dua isteri dan tiga anak sudah cukup untuk menggambarkan tentang kejayaan hidupnya.

Namun begitu, seperti insan lain yang tidak sempurna, Fairuz terjebak jua dengan pengambilan dadah dan hanya terdetik untuk berubah setelah kegiatannya dihidu pihak majikan akibat khayal pil ekstasi di pejabatnya beberapa bulan lalu.

“Saya mula dikenalkan dengan kokain seawal usia 17 tahun oleh bekas isteri saya yang berketurunan Belanda. Ketika itu saya menetap di Amsterdam setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bila tengok dia (bekas isteri) hisap kokain, saya pun jadi teruja untuk mencuba. Dari situlah saya mula gian dengan benda tu.

“Keluarga saya langsung tak pernah tahu yang saya ambil dadah. Apa sahaja kemahuan saya, mereka akan turuti. Malah, sepanjang tiga tahun berada di sana, saya hanya berseronok dan tak perlu bekerja langsung kerana semuanya sudah tersedia,” ujarnya yang pernah berkahwin muda ketika berada di Belanda.

Terus terjebak

Seperti kata orang, sekali terjebak bukan mudah untuk kembali ke pangkal jalan. Kekhilafan itulah yang terus dilakukan Fairuz apabila dia menjadikan kerjayanya sebagai tiket untuk terus bergelumang di dalam kancah dadah.

Fairuz memberitahu dia bernasib baik tidak ke tali gantung kerana sering ke luar negara untuk mendapatkan dadah jenis kokain seberat 300 gram untuk dikongsi bersama sepupunya yang merupakan seorang doktor.

“Bukan senang untuk berhenti. Lebih-lebih lagi bila dapat kerja yang memudahkan ‘urusan’ dilakukan. Mungkin laluan untuk saya memboloskan diri terlalu banyak menyebabkan saya sukar untuk berubah.

“Dari segi kesihatan, penghisap kokain perlu menjalani pemeriksaan setiap lapan bulan sekali untuk memastikan tiada darah beku di dalam otak.

“Jadi, setiap lapan bulan saya akan pergi ke hospital untuk jalani pemeriksaan yang dibuat oleh sepupu saya sendiri. Sebab tu saya tak pernah tertangkap dan mempunyai tubuh badan yang sihat tanpa dikesan sesiapa.

“Walaupun saya berhabis sebanyak RM9,000 sebulan untuk dadah tetapi tak pernah langsung rasa terbeban kerana kewangan saya yang kukuh.

“Pihak berkuasa? Mereka takkan syaki apa-apa sebab saya ada permit yang memudahkan saya pergi ke mana-mana negara tanpa sekatan,” tuturnya yang sering ke negara gajah putih untuk mendapatkan bekalan dadah.

Rumah tangga kali keduanya yang diserikan dengan kehadiran dua isteri dan tiga anak perempuan tetap tidak dapat menghentikan tabiatnya yang gian menghisap dadah.

Simpan rahsia

Menurut Fairuz, keluarganya termasuk anak-anak tidak pernah tahu tentang penglibatannya dengan dadah dan mereka hanya tahu dia bekerja di luar negara serta tidak dapat pulang ke pangkuan mereka untuk satu tempoh yang agak lama akibat kesibukan kerja.

“Saya menyimpan rahsia ini selama 17 tahun daripada pengetahuan isteri, namun apabila sudah diketahui pihak majikan saya terpaksa berterus-terang dengan isteri dan mujurlah mereka masih menerima saya.

“Saya dan isteri juga telah berpakat untuk menyimpan rahsia ini daripada anak-anak. Lagipun mereka faham kerja saya yang sibuk dan sering ke luar negara,” kata bekas kakitangan kerajaan ini.

Masih beruntung, Fairuz diberi cuti selama setahun lima bulan dengan separuh gaji untuk mengubati ketagihannya itu dengan memasuki pusat pemulihan dadah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspem), Sungai Besi di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak empat bulan lalu.

“Mungkin inilah titik mula untuk saya berubah kerana selama 17 tahun ini, saya tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih dadah.

“Anak sulung saya juga bakal berkahwin pada tahun depan. Saya risau apabila memikirkan tentang masa depan mereka kalau saya terus terjebak dengan najis ini.

“Saya turut bersyukur kerana majikan tidak memecat saya walaupun sudah mengetahui hakikat ini,” ucapnya yang kesal dengan perbuatannya itu.

Katanya lagi, dia bercadang meninggalkan kerjayanya sekarang selepas keluar dari Puspem kerana menganggap kerjayanya itu sebagai peluang untuknya terus terjebak dengan dadah.

“Saya ingin kembali ke pangkuan keluarga untuk memulakan hidup baru dan merapatkan kembali hubungan dengan anak-anak yang begitu jauh ketika ini akibat sikap saya yang tidak ambil peduli. Malah mereka seperti tidak mengenali saya lagi.

“Saya juga ingin kembali mendekatkan diri dengan Tuhan setelah sekian lama mengabaikan kewajipan sebagai seorang umat Islam selain tidak mahu terlepas melihat anak-anak saya membesar di depan mata,” luahnya yang turut merancang untuk membuka sebuah restoran setelah selesai menjalani pemulihan kelak.

Isnin, 11 Januari 2010

Tanda Penagih dadah

(Dipetik dari PEMADAM)
Simptom atau tanda yang perlu diberi perhatian. Setengah dari simptom ini boleh berdiri berasingan dan setengahnya pula berkombinasi dengan simptom – simptom yang lain.

Adanya perubahan/merosot kehadiran atau prestasi mutu kerja, hasil kerja dan disiplin di sekolah/tempat kerja.
Marah – marah atau meradang tak tentu sebab.
Turun berat badan, selalu menguap dan tidak bermaya.
Hilang selera makan atau selera bertambah.
Permukaan mata berkaca, cengkung, mata berair dan kuyu.
Apabila bercakap tidak bertentang mata.
Kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri, tidak ceria, muka menjadi pucat.
Parut atau bekas suntikan di lengan.
Diri menjadi tidak terurus seperti malas mandi, gosok gigi.
Hujung jari dan kuku berwarna kekuningan atau kemerahan.
Selalu menggaru terutamanya dibahagian hidung dan kelakuan aneh.
Suka memencilkan diri di dalam bilik air, setor, rumah kosong, masuk di dalam semak dan tempat dimana tiada orang.
Tidak mahu makan bersama –sama keluarga dan suka makan di tengah malam berseorangan.
Hilang minat terhadap sukan, muzik dan sebagainya.
Suka menyembunyikan barang-barang persendirian, tidak suka akan pertanyaan dari orang lain, bertanyakan apa yang dilakukan, menjadi seorang pendiam dan kuat berahsia.
Menjadi rajin, agresif, tersengih-sengih atau terlalu gembira secara tiba-tiba.
Suka berkawan dengan orang lain tanpa kebenaran, kerap meminta atau meminjam wang tanpa membayar balik.
Melakukan kegiatan mencuri di sekolah, rumah, tempat kerja, rumah jiran, kawan dan saudara mara.
Suka berbohong, menipu dan berpura-pura berlagak baik atau main wayang.
Menjadi orang yang tidak bertanggungjawab dan selalu menyalahkan orang lain. Hilang tumpuan terhadap kerja atau tugasan dan tidak dapat menyudahkan kerja yang diberi (kerja separuh jalan atau kerja tidak pernah siap).
Keluar rumah pada masa tertentu, mungkin untuk berjumpa pengedar.
Meminta wang berlebihan daripada Ibu Bapa.
Mengasingkan diri daripada rakan-rakan dan kegiatan masa lapang.
Berdampingan dengan mereka yang diketahui penagih.


Sekiranya anda melihat perubahan-perubahan yang tiba-tiba ini kepada perangai ahli keluarga atau teman anda yang dikasihi. Perubahan – perubahan ini selalunya mempunyai hubungan dengan penggunaan dadah. Hubungi doktor anda atau pegawai pemulihan dadah untuk mendapatkan kepastian. Jangan sesekali membuat diagnosa anda sendiri!

Selasa, 5 Januari 2010

Cerpen: Sahabat yang terjebak

Cerpen: Sahabat yang terjebak
11/11/2009
Oleh Mazemie Maz Berita Harian,

“KAUCAKAP senanglah. Kau tak duduk tempat aku ....!” sergah Hasbullah, apabila aku bertanyakan keadaannya. Aku pun tak sangka dia sanggup berkasar dan menyergah aku sebegitu, setelah lima tahun kami tak berjumpa.

“Aku sebenarnya .…”
“Sudahlah Yusman. Kau pun sama macam ummi aku. Macam walid aku. Macam adik-adik aku ....!” sergah Hasbullah lagi.

“Sebab mereka tak nak tengok kau terus macam tu ....!” Aku bersuara setelah terkedu seketika.

“Macam apa? Syaitan ....? Iblis ....?”

“Hasbull ....! Kenapa cakap macam tu ....?”

Hasbullah menggenyeh-genyehkan hidungnya berkali-kali. Macam penagih dalam ketagihan. “Kenapa kau nak bersyarah dengan aku? Kenapa? Jahat sangat ke aku ni ....?”

“Hasbull ....! Siapa kata kau jahat?” aku cuba memujuk dan mengatur langkah mendekatinya.

“Heh ..., kau diam boleh tak ....?” suara Hasbullah semakin tinggi. Jari telunjuk kanannya serentak menuding ke arahku. Sementara jari-jari kirinya menggenyeh-genyeh hidungnya lagi berkali-kali. Ternyata dia benar-benar marahkan aku. Dia seakan tidak menerima kehadiranku yang bertujuan untuk menegurnya supaya menjadikan dirinya kembali seperti sebelumnya.

Hasbullah kemudiannya bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai di belakang rumahnya.

Sejak seminggu pulang bercuti, aku baru berkesempatan berjumpa dengannya. Sebelum ini, berkali-kali aku pulang bercuti ke kampung, tak pernah pula ternampak kelibatnya. Sedangkan aku berhasrat sangat untuk bertemu dan bertanyakan khabarnya. Aku sesungguhnya tidak menduga dia terjebak dengan dadah sehingga sejauh itu.

2 HASBULLAH, sahabat sekampungku. Perhubungan kami teramat baik sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kerap bermain-main bersama-sama. Memikat burung bersama-sama. Meronda-ronda berbasikal sekeliling kampung pun bersama-sama. Dengan seorang lagi sahabat kami yang juga sepupuku, Naswir. Kami sering terhibur dengan gelagat nakal dan gila-gila Hasbullah.

Semasa di sekolah rendah, Hasbullah kurang cerdik. Tidak sebagaimana aku dan Naswir. Di dalam kelas, antara kami, sejak dari darjah satu hingga darjah enam, hanya aku dan Naswir berlumba-lumba belajar untuk mendapatkan tempat pertama dalam kelas pada setiap penggal. Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, tempat keduanya pasti milik Naswir. Begitulah juga sebaliknya.

Semasa di sekolah rendah lagi, aku dan Naswir sudah pandai menulis dan membaca jawi. Kelebihan itu akan memudahkan aku dan Naswir untuk belajar bersolat. Hingga aku dan Naswir selalu mendapat pujian daripada Ustaz Omarul.

Hasbullah kurang pandai menulis dan membaca jawi, walaupun dia anak kepada Ustaz Omarul yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah kami.

“Lepas sekolah rendah nanti, kamu nak sekolah di mana, Yusman?” Ustaz Omarul ingin tahu jawapanku.

“Saya nak ke sekolah menengah biasa saja, Ustaz,” jawabku teragak-agak.

“Kenapa nak masuk sekolah menengah biasa? Kenapa tak nak belajar di sekolah menengah aliran agama?” Ustaz Omarul sedikit kurang senang dengan jawapan yang kuberikan.

“Entahlah Ustaz ....”

“Ustaz suka kalau Yusman masuk sekolah agama. Kemudian jadi ustaz .…”

Aku sekadar tersengih.

Ustaz Omarul memang berhasrat melihat aku menyambung pelajaranku ke sekolah aliran agama. Impiannya mahu melihat aku menjadi seorang ustaz sepertinya. Itu yang pernah Ustaz Omarul luahkan kepada ayahku.

“Yusman tu cerdik budaknya. Belajar pandai, sembahyang pandai. Baca dan tulis jawi pun boleh. Jarang budak sebaya dia boleh baca dan tulis jawi. Saya yakin dia boleh jadi ustaz suatu hari nanti,” Ustaz Omarul memuji kebolehanku sewaktu sedang berbual-bual dengan ayahku. Dia kerap mengunjungi keluargaku.

“Saya tak kisah, Ustaz. Saya ikut saja mana yang Yusman suka,” balas ayahku.

3 MUNGKIN sedikit kehampaan terpacak di pundak Ustaz Omarul apabila dia mendapat tahu yang aku menyambung persekolahanku ke sekolah menengah biasa. Sama seperti anaknya, Hasbullah, tetapi Naswir yang berminat memasuki sekolah menengah aliran agama.

Naswir dan Hasbullah bagaimanapun tidak ke mana juga. Selepas tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri.

Naswir kiranya bernasib baik kerana berjaya menjadi kerani di pejabat daerah di tempat kami. Tiga tahun selepas itu, Naswir menjalankan perniagaan menyewa kereta secara sambilan. Hingga kini, selain perniagaan sewaan keretanya semakin berkembang maju, dia juga memiliki sebuah pasar raya mini di kampung kami. Dia memang seorang yang berwawasan walaupun tidak berpelajaran tinggi. Dia berminat dalam bidang perniagaan.

Aku pula dapat melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan terus bekerja di kota raya setelah tamat pengajianku selama tiga tahun. Kini sudah hampir tujuh tahun aku menjadi penghuni kota yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Sementara Hasbullah pula tenggelam punca dalam kehidupannya. Kerana berkawan dengan tidak keruan, dia akhirnya terlibat dengan penagihan dadah. Astaghfirullah-al-azim ....! Aku agak terkejut juga mendengar perkhabaran malang mengenai sahabatku itu daripada adikku, Yusmar.

“Dia dah teruk sangat dah. Kalau tak dapat duit nak beli dadah, bukan rumah saja dibalingkannya dengan batu, ummi dan walid dia pun sanggup diugut dengan pisau,” cerita Yusmar melalui telefon setiap kali aku menghubunginya.

Aku sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala. Antara percaya dengan tidak apa yang aku dengar itu.

“Betul, bang. Yusmar tak bohong. Begitulah keadaan Hasbullah sekarang,” jelas adikku itu bersungguh-sungguh apabila aku melahirkan keraguan dengan apa yang aku dengar dari mulutnya.

“Umi dan walid dia macam mana ...?”

“Nak kata macam mana. Sudah kerap benar dia keluar masuk pusat serenti. Tapi masih macam itu juga,” ujar Yusmar lagi.

Pernah tiga tahun lalu, sewaktu aku pulang ke kampung aku sempat berbual-bual dengan Ustaz Omarul mengenai Hasbullah. Ternyata Ustaz Omarul amat terkilan dengan apa yang terjadi kepada anaknya. Dia juga tidak dapat menyembunyikan perasaan malunya kepada jiran-jiran dan seluruh masyarakat kampung sejak penglibatan Hasbullah dengan penagihan dadah yang berterusan itu.

4 “BERSABARLAH, ustaz. Mungkin masih ada peluang untuk selamatkan dia …” ujarku yang cuba menyelami perasaan Ustaz Omarul.

“Ustaz dah puas menanggung malu, Man. Malu dengan perbuatan anak ustaz sendiri,” Ustaz Omarul meluahkan perasaan hatinya.

Aku mengeluh. Turut menumpang rasa dengan apa yang dialami Ustaz Omarul.

“Ustaz mengajar anak orang lain supaya menjadi baik … menjadi manusia berguna …” Ustaz Omarul cuba menahan sebak. “Tapi anak ustaz sendiri yang jadi manusia tak berguna. Sampah masyarakat. Macam mana Ustaz tak malu, Man. Sudah tak tahu di mana lagi Ustaz nak sorokkan muka Ustaz ni ...!” Ustaz Omarul terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya setelah sebaknya kembali reda.

Aku turut diburu rasa terharu setiap kali aku menatap wajah Ustaz Omarul. Sebenarnya aku pun tidak pernah menyangka yang Hasbullah boleh terlibat dengan dadah sejauh itu. Sewaktu di sekolah menengah dulu, aku pernah juga cuba-cuba merokok, tapi Hasbullah yang menegahku dengan mengugut akan memberitahu kepada ayahku jika aku teruskan hasratku itu. Disebabkan tegahannya itu aku mencampakkan rokok yang sebatang di tanganku itu ke tepi semak.

Aku dapat menyelami dan menduga hati walid dan umminya. Anak sulung yang diharap sebagai pengganti ketua keluarga setelah ketiadaan kedua-duanya, hidup tanpa keruan akibat terjebak dengan penagihan dadah. Betapa kecewa dan hampanya hati ummi dan walidnya itu.

“Semalam Ustaz Omarul kena serangan jantung,” beritahu Yusmar sewaktu aku menghubunginya di pejabat.

“Apa Ustaz Omarul kena serangan jantung? Kenapa? Parahkah dia?” aku tidak sabar ingin tahu.

“Puncanya kerana Hasbullah .…”

“Hasbullah lagi?” aku tiba-tiba melepaskan keluhan kesal.

“Dia mengamuk. Dia membaling rumahnya dengan batu bertubi-tubi,” ujar Yusmar.

“Sebab tak dapat duit nak beli dadahlah tu?” aku cuba mengagak.

“Huh .… apa lagi. Itulah selalunya. Kalau giannya dah sampai, dia bukannya peduli apa lagi. Minta duit dengan ummi dia untuk belikan dadah. Bila tak dapat, rumah yang jadi mangsanya. Tapi kali ni agak teruk dia mengamuk. Menjerit-jerit … memekik-mekik macam orang hilang akal ...! jelas Yusmar lagi.

5 USTAZ Omarul yang sudah lama menanggung malu dengan perbuatan anaknya itu, sudah tidak tersabar lagi agaknya. Penyeksaan yang ditanggungnya sekian lama telah diterjemahkan melalui jantungnya. Dan khabar yang menyedihkan aku terima, Ustaz Omarul telah pergi buat selama-lamanya setelah koma selama seminggu.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun.”

Dan betapa aku begitu berat untuk menerima kenyataan itu.

Betapa aku turut menumpang sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih mengharukan kerana aku tidak berpeluang menziarahi arwah Ustaz Omarul kerana kesibukan tugasanku. Namun dari jauh aku tidak lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah.

“Sudahlah, Yusman. Kau jangan ganggu aku lagi. Aku lebih senang dengan cara hidup aku macam ni ...!” lamunanku tersentak dengan sergahan Hasbullah yang tiba-tiba terhenti bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai itu. Sepasang matanya yang layu memandang ke arahku.

Aku dapat tahu yang Hasbullah ada di bawah pokok rendang itu daripada adiknya. Kebetulan aku singgah seketika di rumahnya untuk bertanyakan khabar keluarga arwah Ustaz Omarul.

“Senang apanya, Hasbull. Macam mana kaukata kau senang dengan cara hidup macam tu? Hidup tak serupa orang lain?” balasku dengan suara yang agak tinggi. Memang aku berhasrat sangat untuk bersemuka dengannya setiap kali pulang bercuti ke kampung. Tetapi kesempatan itu tak pernah ada. Ada kalanya aku pulang bercuti, Hasbullah pula berada di pusat serenti.

Tetapi hari itu aku berpeluang berjumpa dengannya. Dia baru seminggu keluar dari pusat serenti. Namun, begitulah selalunya. Pusat serenti tidak pernah mengubah keadaan hidupnya yang tersesat jauh itu. Dia pulih hanya seketika. Kemudian kembali kepada asal. Malah, aku juga agak terkejut apabila dia seakan-akan tidak bergembira berjumpa denganku. Sah, memang akalnya tidak sempurna. Itulah yang dapat aku mengagak. Dia bagaikan tidak pernah mengenali diriku yang juga sahabat karibnya sejak dulu.

Walaupun petang itu aku tidak berpeluang berbicara panjang dengannya, namun aku berjanji akan berjumpa dan bersemuka dengannya lagi. Aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana tugas. Aku masih ingat pesan arwah Ustaz Omarul yang pernah meminta agar aku bersamanya dalam usaha membantu Hasbullah kembali ke pangkal jalan dan kembali menjadi manusia yang sempurna dengan menjauhi dadah dalam kehidupannya.

Aku merasa sedikit kecewa kerana hasrat Ustaz Omarul untuk melihat Hasbullah pulih seperti biasa tidak kesampaian. Dan aku berjanji akan menyambung hasratnya itu.

6 NAMUN sebulan setelah aku kembali ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang juga mengharukan. Kali ini khabar yang Yusmar sampaikan agak memeranjatkan juga.

“Bang, Hasbullah dah tak ada lagi. Baru sebentar tadi dia disahkan meninggal dunia.” Begitu pesanan ringkas yang aku terima daripada Yusmar. Ketika itu aku baru saja untuk memulakan mesyuarat mingguan dengan kakitangan di pejabatku.

Mesyuarat aku tangguhkan seketika. Aku terus menghubungi Yusmar untuk mendapatkan pengesahan. “Dia meninggal dunia kerana mengambil dadah berlebihan,” beritahu Yusmar.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun .…”
Kesedihan dan kehampaanku berbaur. Namun aku sedar aku tidak dapat mengatasi takdir Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu mengatasi segala-galanya. Semoga roh Hasbullah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin ...!

Biodata:

MAZEMIE MAZ atau nama sebenarnya Mazmi Muhammad dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Dungun. Mula menulis sajak dan cerpen pada awal 1980-an. Sajak pertamanya disiarkan dalam Watan dan diikuti majalah Wanita. Cerpen pertama disiarkan dalam Mingguan Perdana. Novel kanak-kanaknya, Biragas Makhluk Asing diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Karyanya masih mendapat tempat dalam media arus perdana tanah air. Pernah bekerja di jabatan kerajaan selama empat tahun sebelum menyertai syarikat penerbitan akhbar dan majalah tanah air bagi melebarkan minat dalam bidang penulisan. Pernah berkhidmat sebagai editor untuk akhbar dan majalah kanak-kanak, kereta dan motor sebelum membuat keputusan menjadi penulis bebas. Beberapa lirik lagu ciptaannya dinyanyikan sejumlah penyanyi popular tanah air. Novel terbarunya, Kenangan Semalam, sudah beberapa kali dicetak ulang.
 

Blogger news

Blogroll

About