Khamis, 20 Februari 2014

Dadah Ubah Penagih Menjadi Zombi

SUMBER : SINAR HARIAN ONLINE
http://www.sinarharian.com.my/ubah-penagih-menjadi-zombi-1.207541

JELI - Polis Kelantan memandang serius ancaman dadah terbaru dikenali sebagai ‘bath salts’ (Garam mandi) yang boleh merangsang penagih menjadi ‘zombi’ kerana sanggup memakan daging manusia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dadah dikategorikan sebagai paling berbahaya di Amerika Syarikat, Britain dan Eropah itu bertindak merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah celsius.

“Keadaan itu menjadi punca halusinasi dan perlakuan ganas yang ekstrem, menyebabkan penagih dadah jenis ini hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh dan memakan daging manusia atau menyakiti mangsa sampai mati.

“Pengambilan berterusan selama beberapa jam juga akan mengakibatkan pengguna menjadi gila dengan 85 peratus akan pulih dalam tempoh 30 hari manakala 15 peratus lagi kekal gila sehingga mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Seminar Pencegahan Jenayah dan Pelancaran Kelab Pencegah Jenayah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, semalam.

Jalaluddin berkata, cara pengambilan dadah 'bath salts' adalah dengan membakar, menghisap, melarutkan dalam air dan disuntik atau memasukkannya ke punggung bagi mendapatkan rangsangan.

Katanya, siasatan sebuah akhbar tabloid di Britain mendapati dadah sintetik dinamakan sempena garam yang digunakan dalam mandian itu mampu pengaruhi penggunanya supaya memakan daging manusia.

“Mereka tidak sedar apa mereka lakukan kerana berada dalam keadaan khayal seperti insiden di Britain membabitkan dadah itu yang diberi nama ‘Benzo Fury’.

“Kes pertama serangan ‘zombi’ ini membabitkan seorang remaja Scotland berusia 19 tahun yang maut selepas mengambil dadah 'bath salts' yang dibeli dengan harga RM50.

“Seorang lagi remaja perempuan juga berusia 19 tahun bertindak membogelkan diri di sebuah pasar raya sejurus ambil dadah ini,” katanya.

Menurutnya, jika tidak dihalang, kemasukan ‘Bath Salts’ mungkin akan mengambil tempat ekstasi dan syabu, malah dadah itu yang sebelum ini digunakan golongan elit di luar negara kelak akan mampu dibeli penagih biasa.

Pada sidang media selepas itu, Jalaluddin berkata, Kelantan lebih terdedah kepada kemasukan dadah jenis ‘Bath Salts’ kerana kedudukannya bersempadan dengan Thailand.

“Polis Kelantan pandang serius ancaman dadah jenis baru ini. Kita akan bincang dengan agensi lain seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan kastam bagi mengetatkan lagi kawalan di sempadan.

“Setakat ini, polis belum terima maklumat berkaitan 'bath salts' di Kelantan dan kita cuba sedaya upaya menyekat kemasukannya kerana dadah ini cukup berbahaya,” katanya.

Insiden paling sadis dilaporkan membabitkan 'bath salts' adalah serangan terhadap seorang lelaki gelandangan berusia 65 tahun di Amerika Syarikat yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana dimakan penagih dadah, Mei tahun lalu.

Penagih terbabit ditembak mati selepas dia tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti menggigit wajah mangsanya, sebaliknya mendengus seperti haiwan liar dan akibat kejadian itu, lelaki gelandangan terbabit menjadi separuh buta.

Isnin, 3 Februari 2014

Sindiket dadah tumpas lagi

SUMBER : SINAR HARIAN
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/sindiket-dadah-tumpas-lagi-1.246469

MUAR - Kurang dua minggu selepas kejayaan  membongkar sindiket  pengedaran dadah bernilai RM1.35 juta di sebuah hotel di daerah ini, polis sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan tersebut membabitkan rampasan dadah  bernilai RM52,000, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejayaan itu hasil serbuan jam 10.50 pagi oleh sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar  di sebuah rumah di Kampung Parit Bulat, Parit Jawa dekat sini.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menjumpai dadah syabu seberat 87 gram (gm), ganja (370gm)  80 biji  pil ecstacy, sepucuk pistol angin dan satu kelopak peluru berisi sebiji Ball Bearing.

“Bahan terlarang itu dijangka boleh menampung  bekalan kepada 4,200 penagih di daerah ini juga daerah berhampiran,”katanya dalam sidang media di IPD Muar, kelmarin.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya menahan tiga lelaki yang sedang berehat  di rumah berkenaan berusia diantara 20 hingga 40an disyaki  menjadi dalang kegiatan tersebut.

Katanya, ekoran  penahanan tiga suspek terbabit  pihaknya menahan tujuh lagi lelaki juga berusia lingkungan 20 hingga 40an yang dipercayai cuba mendapatkan bekalan dadah daripada suspek.

“Kesemua 10  suspek  yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka.

“Hanya seorang suspek yang  berusia 40an memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah kekerasan,”katanya.

Azman berkata, mereka ditahan reman sehingga 4 Februari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Jelasnya, selain itu kes  juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara tidak lebih  tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Azman memberitahu sepanjang 1 hingga 30 Januari ini, sebanyak tiga kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, empat kes Seksyen 39A (2) dan 10 kes Seksyen 12(2) akta yang sama berjaya dituduh di mahkamah.
 

Blogger news

Blogroll

About